Saturday, 11 January 2014

PUNCA - PUNCA PENCERAIAN

Putrajaya: Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) merekodkan 581,505 kes perceraian pasangan Islam didaftarkan di Mahkamah Syariah seluruh negara dari 2003 hingga 31 Disember lalu.
Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) Tan Sri Dr Ibrahim Lembut berkata, daripada jumlah itu, 544,804 kes berjaya diselesaikan manakala 36,701 kes lagi masih dalam proses perbicaraan.
Katanya, jenis perceraian pula adalah cerai mengikut Seksyen 47 (lafaz cerai) sebanyak 16,865 kes diikuti cerai fasakh sebanyak 5,528, cerai taklik (2,111), cerai khulu’ atau tebus talak (86) dan pengesahan cerai di luar mahkamah sebanyak 12,111 kes.
“Selain itu, bagi tempoh sama Selangor menjadi negeri yang mencatat permohonan pendaftaran perceraian tertinggi, diikuti Johor, Kelantan dan Wilayah Persekutuan manakala perceraian paling rendah dicatat di Perlis, Melaka dan Sarawak,” katanya.
Ibrahim berkata, berdasarkan kajian, beberapa faktor lain turut mendorong kepada perceraian, termasuk masalah berkaitan agama atau budaya yang mungkin disebabkan pasangan sering meninggalkan kewajipan terhadap agama, berlainan haluan atau kurang pengetahuan dan pendedahan agama.
Selain itu, pasangan bersikap dingin, tiada kepelbagaian dalam seks dan tiada kepuasan seks antara tiga masalah seksual yang mencatat peratusan tertinggi sehingga menyebabkan perceraian dan ia biasanya berlaku dalam kalangan pasangan muda berusia 35 tahun ke bawah.
“Punca lain termasuk suami atau isteri tidak bertanggungjawab kerana mementingkan diri, suami tidak memberi nafkah zahir batin dan keadaan isteri yang sering meminta cerai.
“Ada segelintir isteri sering meminta dicerai apabila berlaku perselisihan faham dan ketika kemarahan menguasai diri serta tercabar dengan permintaan isteri selepas diugut berkali-kali, tidak mustahil lafaz cerai keluar daripada mulut suami,” katanya.
Bagaimanapun, masalah kesihatan bukan perkara utama yang mendorong kepada perceraian, namun ada dalam kalangan pasangan yang kuat merokok, sakit tua, sering sakit, menghidap penyakit HIV atau AIDS dan lumpuh boleh menyumbang kepada perceraian.
Katanya, pasangan tidak jujur, suka mengongkong atau ‘king’ serta ‘queen control’ sering berfoya-foya dan berjudi juga satu lagi sebab berlaku perceraian.
Selain itu, Ibrahim berkata, tempoh rumah tangga yang kerap berdepan kes perceraian adalah antara satu hingga enam tahun, dan tempoh itu dianggap paling mencabar dalam institusi perkahwinan kerana peratusan perceraian banyak berlakui.
Berdasarkan kajian dilakukan, kumpulan umur yang mempunyai peratus perceraian tertinggi adalah di kalangan umur 35 tahun ke bawah. “Statistik JKSM dari 2008 hingga 2013 menunjukkan 7,358 kes perceraian berlaku bagi pasangan yang berkahwin bagi tempoh perkahwinan kurang tiga tahun,” katanya.
Sumber myMetro